Pages

Thursday, February 26, 2009

Jenayah Siber 1


Jenayah siber bukanlah perkara baru. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi melibatkan masalah antarabangsa. Banyak kes melibatkan jenayah siber telah dikesan, malah, ramai rakyat Malaysia juga menerima akibat daripada aktiviti jenayah yang menggunakan ruang siber sebagai mediumnya.

Berikut adalah pelbagai artikel yang mendedahkan tentang jenayah siber. Artikel-artikel yang dipaparkan di bawah merupakan artikel yang tulisan yang disiarkan di pelbagai medium massa, termasuk laman web rasmi jabatan kerajaan yang berkaitan.

Artikel ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15hb Oktober 2006 dan boleh disurf melalui laman sawang
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive

ARKIB : 15/10/2006


Semua pihak perlu tangani jenayah siber
Oleh Siti Mariam Md. Zain


SEMUANYA di hujung jari anda. Frasa ayat ini cukup popular ketika ini. Memang, kecanggihan teknologi maklumat (IT) mendorong kita memilih sesuatu yang boleh dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.


Jika boleh, semua urusan mahu dibuat di satu tempat. Faktor masa dan belanja banyak mempengaruhi pilihan ini. Justeru, apabila pihak bank berlumba-lumba menawarkan perkhidmatan on-line atau lebih dikenali sebagai perbankan Internet, ramai yang mengalu-alukan usaha ini. Sebagai pengguna, ia dilihat menguntungkan mereka.


Namun pada masa yang sama, ada perkara yang terus menjadi kebimbangan. Sejauh mana kaedah ini selamat digunakan atau dalam bahasa mudah, sejauh mana wang pengguna mampu dilindungi terus menjadi tanda tanya.


Walaupun pihak bank berkali-kali mengatakan keselamatan menjadi keutamaan mereka, hakikatnya, masih ada pengguna yang mengadu kehilangan wang menerusi transaksi yang dijalankan, tanpa sedar mahupun disedari.


Mengapa ini berlaku? Alasan yang diberikan oleh pihak bank apa yang berlaku bukan kerana kesilapan mereka. Segala urusan yang disediakan dijamin mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Tambah mereka lagi, pelanggan bukannya tertipu sewaktu berurusniaga dengan bank, tetapi sebelum itu lagi. Maknanya ada pihak lain yang ‘memotong jalan’ menggunakan kaedah-kaedah yang sama seperti disediakan oleh bank terbabit. Lebih tepat, laman-laman web perbankan telah diciplak untuk ‘menghalalkan’ penipuan tersebut.


Sebagai pengguna, dapatkah kita menerima alasan ini? Tentu jawapannya tidak. Hakikatnya, pengguna bukan sahaja tertipu tetapi mungkin juga terpaksa membayar harga perkhidmatan yang ‘ditawarkan' pihak tertentu.


Menurut seorang pakar komputer yang enggan dikenali, “dengan hanya memiliki sebuah komputer, Internet dan perisian pelayar, seseorang boleh mencipta laman web bank untuk melesapkan berjuta ringgit wang pelanggan. Malah untuk mencipta laman web palsu ini, mereka tidak memerlukan masa yang lama, hanya kira-kira satu hingga dua jam sahaja,” katanya sambil menjelaskan perisian yang dimaksudkan boleh didapati di pasaran.


Kegiatan itu bagaimanapun tidak boleh meniru URL (alamat domain) asal laman web berkenaan kerana ia dilindungi, tetapi mereka boleh mewujudkan rangkaian alternatif sehingga mengelirukan para pelanggan bank. Ini bukan satu perkara yang pelik. Baru-baru ini Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Negara (NISER) mengesan penipuan yang berlaku.


Serentak itu, pihak polis telah menangkap empat pelajar universiti dan sembilan yang lain kerana mencipta laman web palsu bank-bank tempatan untuk mencuri maklumat pelanggan sebelum mengeluarkan wang mereka.


Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini (2006), sebanyak 159 kes kecurian identiti pelanggan perbankan Internet telah dikesan, meningkat 27 kes berbanding 132 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah kerugian bagaimanapun tidak dapat diperoleh kerana dirahsiakan oleh pihak perbankan terbabit.


Usaha pihak polis yang berjaya memberkas penjenayah siber ini harus dipuji, namun itu bukanlah pengakhiran kepada kisah penipuan ini. Mungkin masih banyak penjenayah yang lebih bijak tetapi masih bebas di luar sana. Lalu apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini?


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), DigiCert Sdn. Bhd., Noor Azli Othman, untuk menjamin keselamatan, setiap bank harus mempunyai sijil digital. Sijil digital tersebut jelasnya, mampu memastikan setiap pemalsuan laman web dikenal pasti dengan serta-merta.


“Saya tidak menafikan orang masih boleh menciplak laman web terbabit tetapi dengan adanya sijil digital, pengguna boleh tahu tulen atau tidak sesuatu laman web itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.


DigiCert adalah syarikat pengeluar sijil pengesahan digital untuk urus niaga secara elektronik. Sijil digital merupakan keperluan yang penting bagi memastikan keselamatan yang berterusan untuk transaksi dalam talian. Ia juga adalah kenyataan yang mengesahkan identiti seseorang dan keselamatan laman web. Setakat ini beberapa agensi kerajaan telah mengguna pakai kaedah ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan semua syarikat pembekal yang berdaftar dengan kerajaan.


Noor Azli berkata, sijil digital pihaknya berasaskan infrastruktur kunci awam (IPK) untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sekaligus meningkatkan tahap kepercayaan komunikasi Internet. Ia telah diterima di seluruh dunia sebagai kaedah yang paling menjamin keselamatan setakat ini.


Membincangkan tentang ancaman siber, perkara ini bukan baru. Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), masalah ini telah wujud awal lagi. Namun usaha untuk mencegah giat dilakukan dari semasa ke semasa.


Tidak dinafikan dalam persaingan dunia global, ancaman siber sebenarnya sering dihadapi oleh para pengguna komputer masa kini memandangkan kebanyakannya mempunyai sambungan kepada rangkaian Internet.


Apa yang pasti ialah, kesan ancaman siber ini boleh merebak secara global dalam masa yang amat singkat dan lebih membimbangkan ia tidak bersifat setempat atau terhad mengikut sempadan seperti keganasan fizikal. Jika ada pihak yang bimbang dengan penularan jenayah siber perbankan Internet, ada pihak lain melihat, masalah sebenar membabitkan keselamatan proses transaksi tersebut berpunca daripada pengguna itu sendiri.


“Saya percaya masalah ini wujud kerana pengguna kita sendiri yang tidak berhati-hati,” kata Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aziz Deraman. Mengambil dirinya sendiri sebagai contoh pengguna tetap perbankan Internet, Prof. Aziz mengakui sekiranya pengguna itu celik komputer, tidak akan timbul masalah yang sedang membelenggu sesetengah pihak ini.


“Pihak bank tentunya mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Dari segi bank sendiri mungkin tiada masalah tetapi yang menimbulkan masalah ialah pihak luar. Kerana itu kita sebagai pengguna perlu berhati-hati,” katanya. Bagaimanapun untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi kebaikan kedua-dua pihak, beliau mencadangkan agar pihak bank menambah pengenalan-pengenalan diri pengguna dari semasa ke semasa.


Mengulas lanjut, Prof. Aziz berkata, beliau juga kurang bersetuju sekiranya ada pihak yang mencadangkan supaya menggunakan sistem lama–beratur di pejabat-pejabat pos atau bank untuk melakukan urusan kerana ia membazirkan banyak masa, tenaga dan wang selain kaedah tersebut bukan ciri-ciri sebuah negara maju.


“Kita dalam jangka untuk menjadi negara maju pada 2020, sepatutnya yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat. Jika semua pihak faham dan celik komputer, masalah penipuan jika tidak dapat dihapuskan pun akan dapat dikurangkan,” tegasnya.


Sememangnya penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tidak dapat dielakkan dalam mengharungi era globalisasi. Dalam hal ini, seharusnya semua pihak atau agensi yang terlibat dapat mewujudkan kerjasama serta persefahaman ke arah menangani ancaman ini.


Pada masa yang sama pengguna juga perlu memahami tanggungjawab masing-masing. Lebih utama, jurang digital perlu dikurangkan. Jika ini berlaku, jenayah siber yang dibimbangi semakin menular di negara ini akan dapat diatasi.



Artikel ini pula di petik di laman sawang rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang boleh dilayari di
http://www.kpdnhep.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=12176&Itemid=460

Update at Tuesday, 30 November 1999


CHIANGMAI, 5 Ogos (Bernama)--Polis Malaysia dan Thailand sedang berusaha meningkatkan usaha membanteras jenayah siber, ekoran peningkatan dalam kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kemudahan internet itu yang membabitkan jutaan ringgit. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, kedua-dua negara akan berkongsi maklumat risikan dan meningkatkan keupayaan operasi bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung modus operandi kumpulan-kumpulan berkenaan dan mengenal pasti kumpulan yang terlibat.


"Kita hidup di dalam dunia global di mana maklumat internet bebas diperolehi di seluruh dunia. Ini membawa kepada penipuan internet di mana rakyat sesebuah negara kini boleh menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk negara asing dengan niat menipu," katanya. Beliau berkata, ramai yang tertipu dengan janji-janji kekayaan oleh penipu yang menggunakan kemudahan internet ini bagi tujuan menjayakan penipuannya, antaranya termasuk kegiatan sindiket penipuan 'black money', 'penipuan Nigeria', penipuan kad kredit dan sebagainya, yang didedahkan oleh polis, membabitkan rakyat Malaysia mahupun Afrika.


Beliau berkata demikian dalam persidangan media di penghujung Mesyuarat Kajian Semula peringkat Jabatan ke-19 Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Thailand berhubung Aktiviti Jenayah. Turut hadir ialah Ketua Polis Thailand Jeneral Patcharawat Wongsuwan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin. Dua minggu lepas polis Thailand menahan 18 rakyat Nigeria yang terbabit dalam penipuan internet di Bangkok.


"Kami memerlukan maklumat untuk mendidik orang ramai supaya mereka tidak terjebak dalam penipuan itu. Ramai yang tertpiu disebabkan oleh sifat tamak dan ingin menjadi kaya dengan cara mudah," katanya. Musa berkata, dengan kerjasama yang baik serta perkongsian pengkalan data, mereka yang terbabit dalam kegiatan penipuan itu akan dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.


Merujuk kepada perbincangan dua hari yang berakhir semalam itu, Musa berkata kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di samping merangka strategi bagi menangani jenayah merentasi sempadan. "Antara bidang yang diberikan keutamaan ialah keganasan, jenayah siber, curi kenderaan dan penyeludupan manusia," katanya dan menambah bahawa isu lanun akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat berikutnya di Sabah tahun depan. Musa juga berkata tahap kerjasama antara polis Asean akan ditingkatkan lagi apabila Sekretariat Tetap Aseanapol ditubuhkan di Kuala Lumpur nanti. -- BERNAMA


Kementerian Penerangan Malaysia pula di laman sawang rasminya telah menyiarkan berita berikut yang boleh dilayari di
http://www.moi.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=72&Itemid=107&lang=ms

Jenayah Siber Berkurangan
19th November 2005 (Berita Harian)


CYBERJAYA: Penggunaan sains forensik dan teknologi tinggi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengurangkan jenayah siber di negara ini, 48 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.
Mengikut statistik PDRM, sebanyak 606 kes dilaporkan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997, tahun lalu membabitkan kerugian hampir RM2 juta, bagaimanapun bagi 10 bulan pertama tahun ini ia menurun kepada 283 kes dengan jumlah kerugian hampir RM1.2 juta.


Bagi kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, sebanyak 149 kes dilaporkan tahun lalu membabitkan kerugian hampir RM630,000, manakala dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini menurun kepada 58 kes membabitkan kerugian RM294,000.


Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Mohd Ali Mohd Yusof, berkata penurunan itu berikutan keupayaan Unit Siasatan Jenayah Teknologi PDRM yang dipertingkatkan termasuk menghantar pegawai mengikuti kursus l berkaitan jenayah siber di dalam dan luar negara.


“Kita menggunakan pendekatan tradisional serta sains forensik dan teknologi, selain menggunakan komputer forensik serta mendapat kerjasama Pusat Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser),” katanya ketika ditemui pada Bengkel Penyiasatan Jenayah Siber dan Forensik Digital, di sini semalam.


Seminar anjuran PDRM, Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn Bhd (MDC) dan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd berlangsung selama tiga hari, bermula semalam. Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan jenayah siber.


Beliau berkata, kes pencerobohan komputer hanya membabitkan 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes siber yang disiasat, manakala bagi kes jenayah komputer pula kebanyakannya membabitkan pengeluaran wang tanpa kebenaran pemiliknya melalui mesin juruwang automatik (ATM).


Bagi kes yang disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, kebanyakan kes membabitkan Seksyen 235 iaitu kerosakan rangkaian, di mana pondok telefon dirosakkan.


Mohd Ali berkata, pada masa depan cabaran akan menjadi lebih hebat dengan adanya teknologi tanpa wayar. “Kita memberi tumpuan terhadap promosi penggunaan teknologi tanpa wayar kerana siasatan kes membabitkan adalah lebih rumit dan kritikal,” katanya.


Cybersecurity merupakan satu organisasi yang ditubuhkan untuk menangani situasi semasa dunia siber di Malaysia. Pelbagai perkembangan terkini berkaitan dunia siber dapat diperolehi maklumatnya apabila melayari laman web rasmi organisasi ini di
http://www.cybersecurity.org.my . Terdapat banyak artikel berkaitan dunia siber dimuatkan dalam laman rasminya, antaranya seperti berikut;

http://www.cybersecurity.org.my/en/knowledge_bank/news/2001/main/detail/1168/index.html

Jenayah siber semakin serius
By LOKMAN ISMAIL and ISMAIL DAUD
Utusan Malaysia (7th June 2001)


KUALA LUMPUR 6 Jun - Jenayah siber yang kini semakin membimbangkan perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan hubungan politik, ekonomi dan sosial di rantau ini, kata Profesor Paul Evans. Evans dari University British Columbia Kanada berkata, penyebaran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan melalui Internet itu boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan serantau dan global.


Dengan mengambil contoh ketegangan kaum etnik Cina dan tempatan di Indonesia, beliau berkata, rakyat di negeri China telah menerima banyak sumber maklumat dari luar berhubung kejadian tersebut.


"Malahan maklumat yang dikirimkan oleh orang Cina di luar China tentang kejadian ini lebih banyak daripada yang diterima secara rasmi oleh kerajaan China. Bayangkan jika maklumat yang diberikan itu tidak tepat dan mengelirukan, ia boleh menjejaskan hubungan politik kedua-dua negara,'' katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Jurang Digital dan Sosial: Merapatkan Jarak di Kalangan Bangsa dalam persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-15 di sini hari ini.


Evans berkata, jenayah siber yang turut meliputi penyebaran virus, penggodaman komputer dan rangkaian juga boleh memberi kesan sampingan kepada pertahanan dan ekonomi sesebuah negara. Kata beliau, masalah keselamatan teknologi maklumat (IT) di rantau Asia Pasifik sudah menjadi agenda agensi kerajaan sejak dua dekad lalu tetapi ia baru dikaji kalangan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.


Antara isu yang diberi penekanan di bawah keselamatan negara termasuk peperangan siber, epidemiologi siber seperti penyebaran virus, penggodaman dan pencerobohan serta pengganas. Di bawah perspektif isu keselamatan manusia, `privacy' dan capaian, hal-hal seperti teknik komunikasi, pemantauan dan kesan dari ekonomi berasaskan pengetahuan perlu diberi perhatian.


Sementara itu Profesor Amando Mendoza Jr. dari Jabatan Sains Politik, Universiti Filipina pula berkata, Malaysia dan Singapura adalah negara-negara yang paling ke depan dalam memajukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di rantau ASEAN.


"Malaysia dan Singapura diakui mendahului lain negara di rantau ASEAN dalam pembangunan ICT. Ia diikuti oleh Thailand manakala Indonesia, Filipina dan lain-lain negara masih ketinggalan,'' katanya pada sesi soal-jawab selepas persidangan tersebut. Selain memajukan ICT dengan agresif, Malaysia juga, kata beliau, merupakan negara yang mendahului lain-lain negara dalam menyediakan undang-undang siber untuk menghadapi jenayah siber. Langkah yang diambil oleh Malaysia itu, menurut beliau, sangat tepat memandangkan dengan adanya undang-undang seperti ini ia akan mengurangkan masalah jenayah siber.

http://www.cybersecurity.my/en/knowledge_bank/news/2009/main/detail/1673/index.html

Jenayah Siber di Malaysia Naik 100%
13 Januari 2009 (Harian Metro)


KUALA LUMPUR: Meningkat, namun masih terkawal, kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, mengulas mengenai peningkatan kegiatan jenayah siber di negara ini.


Katanya, sebanyak 2,123 aduan jenayah maya diterima pihaknya tahun lalu, meningkat 1,085 berbanding tahun sebelumnya. Menurutnya, peningkatan itu fenomena biasa berikutan perkembangan mendadak pengguna Internet setiap tahun.


Tahun lalu (2008), kami menerima 2,123 aduan berbanding 1,038 pada 2007. Daripada jumlah berkenaan, aduan terbanyak membabitkan kes penipuan iaitu 907 kes, diikuti kes cubaan mengganggu (766), kod berniat jahat (277), ancaman penggodam (89), gangguan siber (72) dan penafian perkhidmatan (12).


Kes jenayah siber serius hanya membabitkan jumlah kecil dan berdasarkan penilaian profesional ia masih dapat dikawal. Peningkatan jumlah ini fenomena biasa berikutan penambahan pangkalan Internet, katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Seminar Pertama Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-CERT) di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Abdul Hanan Alang Endut serta Ketua Teknologi Maklumat, Sekretariat Umum OIC, Mohamed Abdulrahman Elbusefi.


Mengulas lanjut, Husin berkata, banyak penyebab yang menjadi pendorong segelintir individu sehingga terjebak ke dalam kancah jenayah terbabit. Antaranya desakan kewangan akibat kesan kemerosotan ekonomi dunia. Bagaimanapun, apa yang penting, pemantauan secara berterusan bagi memastikan jenayah berkenaan tidak terus meningkat di luar kawalan, katanya.


Sementara itu, Abdul Hanan dalam ucapannya berkata, negara anggota OIC yang menyertai pasukan berkenaan yang baru diwujudkan, boleh mengambil Polisi Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) sebagai contoh bagi merangka dan melaksanakan pelan untuk OIC-CERT.
Malaysia yang mempunyai pengalaman menerusi NCSP sejak 2006, boleh membantu OIC-CERT untuk melaksanakan polisi atau idea sama lebih-lebih lagi membabitkan langkah pengawalan keselamatan dunia siber yang kini melampaui sempadan agama, budaya dan negara, katanya.

Tulisan berkaitan alam siber juga pernah disiarkan dalam Mymetro yang boleh dilayari melalui
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/itMetro/20090211092546/Article/indexv_html

Alam siber masih belum selamat


PENGGUNA perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi 'online' memandangkan kegiatan jenayah siber mempunyai kepentingan yang mensasarkan mangsa secara terancang dan bukan lagi bertindak secara suka-suka.


E-Commerce Consultants iaitu organisasi global yang mengiktiraf individu dalam pelbagai kemahiran e-perniagaan dan keselamatan melalui presidennya, Jay Bavisi, berkata setiap pengguna perlu menyedari risiko yang dibawa jenayah siber memandangkan dunia menggunakan teknologi maklumat (IT) sebagai medium komunikasi.


"Kebanyakan pengguna masih mengambil sikap tidak mahu mempelajari mengenai ancaman dan menganggap komputer mereka selamat walhal penjenayah mula mengetahui pergerakan mereka dari semasa ke semasa," katanya. Katanya, tambah memeritkan, kebanyakan pengguna beranggapan ancaman siber hanya berlaku dalam filem tayangan Hollywood tanpa menyedari ia benar-benar berlaku dalam kehidupan realiti.


"Ketika berada di pejabat, kita beranggapan urusan IT dilakukan pentadbir tapi kerjasama pekerja juga diperlukan bagi memelihara maklumat apabila mereka menggunakan komputer syarikat," ujar Bavisi.


Dalam pada itu, Ketua Unit Jenayah Siber Polis London, Paul Wright, berkata kebanyakan penjenayah siber semakin berleluasa di serata dunia memandangkan tiada undang-undang yang terperinci bagi menangani masalah terbabit. "Penguatkuasaan akan menjerat penjenayah siber tapi sebaik saja mereka dibawa ke pengadilan, ada yang terlepas kerana kekurangan bukti kukuh," tegas Wright.


Katanya, jika jenayah seperti pembunuhan, rompakan dan sebagainya dilakukan, bukti fizikal mampu didapati untuk mensabitkan jenayah namun kalau ia membabitkan jenayah siber pasti menyulitkan keadaan memandangkan buktinya boleh dihapuskan dengan memadam maklumat tertentu. Beliau turut mencadangkan pengwujudan kerjasama antara semua pihak di peringkat antarabangsa dalam memastikan masalah siber berjaya diatasi secepat mungkin.

Bernama.com di
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=374934 telah memaparkan berita berikut untuk tatapan dan kesedaran umum pada 27 November, 2008 23:17 PM.

Rangka Kerja Perundangan Komprehensif Diperlukan Untuk Perangi Jenayah Siber, Kata Pegawai Tinggi EU


KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Rangka kerja perundangan yang konsisten dan komprehensif adalah elemen asas dalam memerangi jenayah siber, kata Duta dan Ketua Delegasi Suruhanjaya Eropah ke Malaysia, Vincent Piket.


Perundangan perlu diselaraskan atau sekurang-kurangnya dipersetujui di kalangan negara-negara. Pembangunan internet dan sistem maklumat lain telah memudahkan aliran maklumat, produk dan perkhidmatan yang menakjubkan di seluruh dunia, katanya dalam ucapan beliau di Bengkel Kerja EU-Asean mengenai Jenayah Siber di sini, hari ini.


Piket berkata bentuk jenayah tradisional seperti penipuan dan pemalsuan serta jenayah baru seperti penerbitan kandungan secara haram dalam media elektronik (contoh bahan penderaan seksual kanak-kanak atau hasutan kepada kebencian perkauman) dan jenayah terhadap rangkaian elektronik (serangan kepada sistem maklumat, penggodaman dan penafian perkhidmatan), berkembang beransur-ansur secara berterusan. Penguatkuasaan perundangan dan undang-undang mempunyai kesukaran untuk bergerak seiring, katanya. Oleh itu, ciri-ciri rentas sempadan jenis aktiviti jenayah baharu ini menyokong keperluan untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan pelarasan.


Picket berkata pengawal atur dalam bahagian ini mempunyai tugas yang sangat rumit. Mereka perlu mengurangkan tingkah laku penjenayah. Pada masa yang sama, apabila mereka membuat undang-undang, mereka tidak boleh meminggirkan faedah ekonomi masyarakat bermaklumat yang dirancang, katanya.


Bengkel kerja dua hari itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang berada dalam rangka kerja program dibiayai EU untuk meneruskan proses integrasi ekonomi Asean. Program tersebut dikenali sebagai APRIS -ASEAN-EU program bagi Sokongan Perpaduan Serantau.
-BERNAMA


Kosmo! Pada 18 Februari 2009 telah mendedahkan tentang Penipuan di internet dalam ruangan INFINITI yang boleh di layari di
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_03.htm dengan memaparkan satu situasi yang dialami oleh Samsung. Berikut adalah berita berkenaan;


Tipu e-mel guna nama Samsung



ORANG ramai dinasihatkan supaya mengabaikan e-mel yang dikirim kepada individu dan mendakwa mereka telah memenangi hadiah-hadiah wang tunai daripada Samsung Corporation atau Samsung Promo Board.



Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd. tidak pernah menggunakan sebarang e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berkomunikasi dengan pemenang peraduan atau mendapatkan maklumat akaun bank.



Pengumuman dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya nama para pemenang peraduan akan disiarkan dalam media dan laman web Samsung Malaysia iaitu www.samsung.com/my. Selain itu, para pemenang juga akan dihubungi untuk dimaklumkan tentang kemenangan mereka oleh agensi yang dilantik oleh Samsung Malaysia.




Teknosains melalui lamannya

http://www.teknosains.info/2007/09/jenayah-siber-dilakukan-setiap-10-saat.html menyentuh isu jenayah siber pada Jumaat, September 07, 2007 dengan artikal berjudul;


Jenayah siber dilakukan setiap 10 saat di Britain

Teknosains-Jenayah siber (Cybercrime) dilakukan setiap 10 saat di Britain, penjenayah-penjenayah menganiaya dunia dalam talian (online) untuk menjalankan kesalahan-kesalahan dari pendekatan-pendekatan seksual yang tidak dikehendaki kepada penipuan dalam talian, menurut satu kajian yang diterbitkan Khamis lalu.

UK Cybercrime melaporkan, ditugaskan oleh online criminology firm 1871 Ltd, menegaskan bahawa lebih daripada 3 juta kesalahan dilakukan dalam talian pada tahun lepas. Stefan Fafinski, pengarang laporan itu berkata: "Walaupun sukar untuk mengukur jenayah siber, namun dalam banyak contoh, ia mendahului jenayah 'tradisional'.


"Ini terhasil daripada peluang-peluang yang tiada taranya diberikan Internet. Janayah berlaku dengan lebih mudah dan muncul penjenayah siber 'tulin' yang tidak boleh wujud tanpa Internet."



Firma keselamatan dalam talian, Garlik telah mendapati yang individu dan bukan organisasi adalah sasaran utama lebih daripada 60 peratus gangguan-gangguan dalam talian. Senarai paling atas bagi kesalahan ini adalah gangguan berterusan dalam talian yang termasuk e-mel yang mengecam dan serangan tuduhan-tuduhan yang ditampalkan pada laman-laman web dan chatrooms. Terdapat 850,000 contoh jenayah seks yang melibatkan individu-individu diintip secara siber atau menerima gangguan secara seksual dan tidak dikehendaki.

Garlik juga mendapati terdapat 207,000 penipuan kewangan dilakukan pada tahun lepas (2006), iaitu lebih 30 peratus dalam kajian serupa yang dilakukan pada 2005 dan dibayangi oleh 199,800 kes penipuan luar talian yang terdahulu (2004). Terdapat 92,000 kes kecurian pengenalan (identity theft) dan 144,500 kes penggodaman (hack) ke dalam PC lain.



Pakar-pakar juga memberi amaran bahawa apa yang sedang dilakukan bagi menangani masalah ini masih lagi tidak mencukupi. "Jika ia masih tidak dapat disekat, (jumlah jenayah) akan terus meningkat," kata Fafinski.




No comments: